Friday, October 10, 2014

Rahsia Bijak Jutawan – Dana Ilmu

Berjumpa lagi kita di ruangan ini. Anda membuat pilihan tepat dengan memilih MajalahNiaga.com sebagai bacaan bina diri dalam talian. Ia mudah, pantas dan percuma.
Baiklah, dalam edisi kali ini mari kita perkatakan dengan lebih lanjut tentang dana Ilmu. Jemput sidang pembaca yang masih belum membacanya klik di sini untuk edisi awal berkaitan topik ini.
Kali ini kita bongkarkan habis-habisan, bahawa dengan hanya ‘melaburkan’ 10% dari pendapatan setiap bulan, tuan dapat meningkatkan kuasa ganda (leverage) dan kuasa rawat yang menghampirkan impian tuan untuk mencapai bebas kewangan.
Mari kita ikuti perjalanan dua sahabat kita ini.
Sahabat A, Encik Umar. Beliau berumur 24 tahun. Beliau adalah eksekutif muda di sebuah syarikat. Pendapatan beliau ialah RM1,800 sebulan. Beliau amat meminati sukan berbasikal. Beliau telah bertunang dan merancang untuk berkahwin dua tahun lagi. Beliau seorang yang berjimat. Beliau menyimpan sekitar RM200 sebulan.
Sahabat B, Encik Khairul. Beliau sebaya umurnya dengan Encik Umar iaitu 24 tahun. Beliau juga adalah seorang pembantu pegawai di sebuah syarikat yang bergaji RM1,800 sebulan. Beliau ada bakat memasak yang diakui teman-temannya. Mungkin sekali diwarisi daripada keluarganya.
InsyaAllah jika tiada aral beliau juga bakal berumah tangga dua tahun lagi. Beliau seorang yang sukakan cabaran.

Kisah Encik Umar – Perangkap Pelaburan

Begini kisahnya. Wajah Encik Umar mungkin nampak serius, beliau sebenarnya peramah juga orangnya. Sering juga beliau keluar minum bersama-sama teman. Kerap juga beliau menyertai  konvoi berkayuh bersama teman rapatnya. Apabila bersama teman, pasti banyak topik perbualan akan timbul.
Topik yang paling biasa kedengaran pastinya tentang D.U.I.T. Encik Umar tidak akan melepaskan peluang untuk ‘pasang telinga’ setiap kali topik ini dibualkan. Manalah tau ada lubang rezeki yang menarik.
Satu hari, sahabat baik beliau ada berkongsi satu peluang pelaburan yang menarik. Seperti bulan jatuh ke riba, Encik Umar ditawarkan peluang itu. “Mungkin ini rezeki orang hendak kahwin”, katanya sendiri.
Beliau tidak usik langsung simpanan RM200 sebulan itu. Dia memilih untuk menyimpan simpanan itu di dalam tabungan saham amanah pilihannya.
Sebagai modal pelaburan berkenaan, beliau membuat sedikit pinjaman peribadi. Dengan jaminan manis pulangan sehingga 30% beliau sudah mencongak-congak keuntungan yang bakal beliau dapat nanti. Pinjaman pun selamat lulus, beliau membayar RM350 sebulan bagi tempoh 10 tahun sebagai tempoh bayaran balik.
Kini beliau bergelar pelabur. Tinggi impian beliau.
Perbelanjaan hariannya semakin hari semakin tinggi. Mana tidaknya, ansuran kereta, sewa rumah, bil-bil utiliti, petrol, tol dan parking. Itu belum belanja wajib makan dan minum. Dek kerana beliau penjimat, dapatlah beliau sisakan sekitar RM50 – RM100 setiap bulan, dan simpanan tetap RM200 masih lagi berlangsung dengan rutin.
Dijadikan cerita, pelaburan beliau gagal. Beliau rasa tertipu. Terpaksa redha, walaupun terperangkap dengan ansuran pinjaman peribadi itu. Berat rasa hatinya. Apapun dalam tempoh itu mujur tabungan amanah sahamnya peroleh sedikit dividen dan bonus sebanyak 8% setahun.
Beliau untung RM192 dengan simpanan RM2,400 setahun pada tahun itu. Beliau tekad untuk terus melabur semula untung dan pokok simpanan berkenaan untuk tahun yang kedua. Keuntungannya untuk tahun kedua (8%) ialah RM400. “Alhamdulillah,” katanya.
Maka dalam tempoh 24 bulan, beliau untung RM592. Apapun kerana mahu berkahwin, simpanannya yang sekarang berjumlah RM5,392 itu terpaksa dikeluarkan semuanya.

Kisah Encik Khairul – Impak Dana Ilmu

En Khairul halus sedikit orangnya. Orangnya teliti dan jujur. Dia mengamalkan amalan pengurusan kewangan yang teratur. Mungkin daripada berkat pembacaannya. Selepas membuat simpanan wajib untuk tabungan masa hadapan dan tabungan hajat beliau, beliau disiplinkan diri untuk simpan (sebenarnya belanja) 10% lagi pendapatannya untuk Dana Ilmu.
Dana ilmu-1
Beliau mencongak kasar, jika sebulan RM180 bermakna beliau ada bajet sekitar RM2,160 setahun untuk ‘dilaburkan’.
Daripada bajet berkenaan secara berkala, beliau peruntukkan untuk membeli buku-buku kegemarannya, termasuk buku motivasi, buku masakan dan buku agama. Beliau juga ada melanggan beberapa ebook ‘How To’ secara online. Beliau juga melanggan dua buah majalah, satu majalah bina diri dan satu lagi majalah masakan.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan beliau sekitar RM1,000 untuk tujuan itu pada tahun itu.
Beliau juga menggunakan bajet 10% Dana Ilmu berkenaan untuk hadir ke bengkel bina diri dan bengkel masakan. Bak kata orang, baik bertambah baik. Semasa hadir di bengkel berkenaan beliau berkenalan dengan ramai rakan baru. Mereka saling berhubung. Ada juga sesetengah bengkel menawarkan sesi networking sesama alumni.
Alhamdulillah, selain rakan sedia ada dan rakan pejabat, Encik Khairul ada satu lagi komuniti sahabat. Perbelanjaan beliau untuk hadir ke bengkel seperti ini dibiayai penuh dengan Dana Ilmu yang 10% itu.
Berkat suasana dan persekitaran itu, Encik Khairul celik akal dan hati. Beliau mengawal kewangannya. Beliau juga melabur. Melalui sedikit modal, beliau juga mula berjinak-jinak dengan perniagaan pastri secara kecilan dalam komunitinya. Beliau juga pasarkan perniagaan itu secara dalam talian dan di laman sosial.
Ini semua berdasarkan ilmu pembacaannya, rujukan bengkel yang dihadirinya dan saranan idea teman-teman barunya.
Setelah dua tahun berlalu, ‘pelaburan’ 10% beliau berjumlah RM4,320 itu hangus. Dengan tidak disangkanya, melalui pelaburannya dan perniagaannya telah membolehkan beliau menambah simpanan. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerja keras, beliau berjaya mengumpul RM7,000 duit tambah bagi tempoh 24 bulan berkenaan.
Simpanan tetapnya sebanyak 20% sebulan untuk Dana Bebas Kewangan dan Dana Hajatmasih lagi berjalan. Beliau dapat tambah lagi RM7,000 lagi bagi dana berkenaan. Alhamdulillah, beliau dapat menempuh dunia baru perkahwinan dengan yakin dan bersemangat!

Kuasa Ganda dan Kuasa Rawat

Ternyata kisah seperti En Umar dan En Khairul bukanlah asing dalam kehidupan kita. Malah ada juga dalam kalangan kita adalah sebahagian daripada kisah berkenaan. Apa yang saya mahu tuan puan fokuskan di sini ialah bagaimana jumlah sekecil 10% sebulan itu dapat memberi efek besar dalam kehidupan Encik Khairul.
Samada susah semakin susah akibat jahil. Atau baik semakin baik kerana ilmu.
Jelas, ia menggandakan ‘pelaburan’ Encik Khairul (dalam Dana Ilmu) sebanyak 60% di atas kertas (melalui perniagaan pastri kecil-kecilan yang dijalankan). Itu belum lagi ia merawat ‘sakit-sakit’ minda. Encik Khairul hari ini sangat yakin diri, bersemangat dan jelas matlamat masa hadapan.
Bagaimanapun ini tidak bermakna beliau tidak akan melakukan kesilapan. Namun, dengan ilmu, pengalaman dan pergaulannya menyebabkan beliau kembali fokus kepada matlamat besarnya bebas kewangan.
Oleh itu pembaca budiman, aturkan Dana Ilmu masing-masing bermula hari ini juga. 10% sahaja. Aturkan satu akaun bank khas. Atau satu sampul khas. Atau satu tabung khas untuk Dana Ilmu 10% ini. Catat dan ‘pasang telinga’ peluang baca, peluang belajar dan peluang bergaul di sekitar anda.
Ada yang percuma, cuma banyak juga yang berbayar.
Berlumba-lumbalah kita mencari ilmu dan pengalaman. Bukankah masa kita di sini tidak lama. Malah bukankah hukumnya wajib dalam agama! Jumpa lagi kita di kesempatan seterusnya.
Anak jiran memakai suasa,
Jalan perlahan pergi kuala;
Baca, belajar bergaul sentiasa,
Barang yang baik berguna pula.

Sumber: http://www.majalahniaga.com/rahsia-bijak-jutawan-dana-ilmu.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...