Friday, October 10, 2014

4 Puak Calon Lingkup Awal Dalam Bisnes

Calon mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bermaksud orang yang akan. Puak calon lingkup awal dalam bisnes bermaksud puak yang akan lingkup dalam bisnes.
Ada beza antara membangunkan bisnes dan buat duit. Membangunkan bisnes berpuluh kali ganda lebih mencabar daripada buat duit semata. Hanya yang kental dan tenang akan terus bertahan.
Kata Tuan Aqif Azizan, pemilik bisnes Write To Wealth,
“Tempoh bisnes matang fasa pertama adalah 3 tahun. Dalam tempoh 3 tahun, pemilik bisnes berada dalam proses mengenal bisnes sendiri.”

1. Pemula bisnes dengan duit pinjaman

Fakta menyatakan, 93% bisnes baru tutup dalam masa 3 tahun pertama. Hakikatnya, apabila memulakan bisnes pertama, kita berdepan risiko besar untuk rugi. Kerugian itu menjadi lebih teruk apabila mengakibatkan kita terpaksa berhutang dengan bank.
Pinjaman baik vs pinjaman jahat
Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sudahlah bisnes hilang, terpaksa mula membayar hutang bank setiap bulan.
Jadikan bisnes pertama kita sebagai tapak untuk kita belajar. Mulakan sekecil mungkin dengan modal yang paling minima yang tidak memerlukan kita meminjam duit dengan pihak ketiga. Abaikan segala nasihat atau ajakan yang menggalakkan kita berhutang.

2. Pemula bisnes tanpa ilmu

Ini adalah maklumat yang kami perolehi daripada blog HidupRingkas.com.
“Data daripada kajian yang dijalankan terhadap para usahawan kecil dan sederhana di Australia menunjukkan 70% daripada usahawan yang mempunyai mentor berjaya mengharungi perniagaan mereka melepasi tempoh 5 tahun.”
Data ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dan mentor bagi memastikan sesuatu bisnes itu bertahan lama. Secara asasnya, terdapat 3 cara menuntut ilmu bisnes.

i. Bekerja dalam industri

Bekerja untuk belajar, bukan sekadar mahu menerima gaji. Sebagai contoh, jika anda mempunyai keinginan untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak, cara mudah untuk anda memahami permainan bisnes ini, adalah dengan cara bekerja dengan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang sudah berjaya dan mampu bertahan lama dalam industri.
Mentor bisnes
Bekerja dahulu dalam bidang bisnes yang kita ingin ceburi, adalah cara paling ideal untuk kita belajar, faham dan kuasai apa ‘resepi’ sesebuah bisnes.

ii. Memilih guru bisnes

Walaupun tidak berpeluang bekerja dengan mereka, anda boleh hadir mana-mana majlis ilmu yang mengumpulkan pemain-pemain di dalam industri. Di sini anda boleh menawarkan diri untuk menjadi anak murid kepada pengusaha bisnes yang sudah berjaya. Pilih guru yang sudah menempa kejayaan bisnes di pasaran terbuka. Banyak ilmu bisnes tulen yang anda boleh kutip dan hadam daripada mereka.

iii. Buku

Baca buku-buku bisnes yang ditulis oleh pakar industri. Buku-buku ini boleh didapati di kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya dan lain-lain. Ia sesuai dibaca kerana ditulis oleh pakar yang bergelumang sendiri dalam bisnes, bukan ditulis berdasarkan kajian tanpa praktis atau teori semata-mata.

3. Pemula bisnes dengan menyewa kedai

Timbul satu kefahaman dalam masyarakat tempatan adalah, berniaga disamakan dengan membuka kedai. Ia menyebabkan banyak pemain baru terjun dalam perniagaan dengan menyewa kedai.
Kos menyewa kedai amat tinggi. Ditambah pula kos renovasi kedai. Paling minima, belasan ribu dihabiskan untuk kedai sahaja. Sedangkan bisnes belum ada apa-apa pulangan lagi.
Di inbox FB, kami pernah menerima aduan daripada seorang pemain baru. Akibat terpengaruh dengan kisah-kisah indah dalam satu seminar bisnes, beliau segera meletak jawatan daripada sebuah syarikat GLC untuk memulakan bisnes. Beliau ambil keputusan untuk membuka sebuah kafe gaya hidup ala-ala ‘Secret Recipe’ di sebuah kompleks membeli-belah di Shah Alam.
Menyewa kedai
Kos untuk membuka dan renovasi kafe sahaja menelan belanja sehingga RM 280,000. Itu tidak termasuk kos operasi dan sewa kedai yang terpaksa ditanggung beliau setiap bulan. Paling menyedihkan, beliau menggunakan pinjaman peribadi untuk menanggung semua kos tersebut.
Selepas 6 bulan, beliau terpaksa tutup kedai, akibat jualan tidak mampu menampung perbelanjaan besar sewaan kedai setiap bulan. Keyakinan terlalu tinggi membunuh bisnes beliau.
Sebelum kafe itu ditutup, beliau bertanyakan kami agensi manakah lagi yang beliau boleh meminjam duit untuk menyelamatkan kafe beliau. Masih tidak serik dan mahu meminjam lagi!
Pengajaran daripada kisah ini, jangan sesekali memulakan bisnes pertama kita dengan membuka kedai. Malah berhutang pula untuk menanggung kos kedai.

4. Pemula bisnes dengan kepercayaan karut tentang bisnes

Golongan ini memulakan bisnes dengan kepercayaan salah seperti:-
  • Mahu kaya cepat
  • Mahu pendapatan hebat
  • Mahu langsai hutang dengan segera
  • Mahu hidup senang
Walaupun objektif bisnes adalah membuat keuntungan, bisnes bukan satu bidang yang boleh menjanjikan kekayaan pantas.
Apabila kita terjun dalam bisnes dengan tujuan utama iaitu mahu kaya cepat, kita masuk dalam bidang yang salah. Prioriti utama bisnes adalah mencipta dan menambah nilai pelanggan sasaran kita.
Keusahawanan itu sendiri membawa maksud mencipta dan menambah nilai produk atau servis secara konsisten. Supaya nilai-nilai tersebut boleh menyelesaikan masalah lebih ramai pelanggan kita. Ini motivasi sebenar usahawan tulen, mahu lihat lebih ramai orang gembira!
Apabila kita masih meletakkan duit sebagai motivasi utama, nescaya ia tidak kekal lama.

Sumber: http://www.majalahniaga.com/pengajaran-bisnes-4-puak-calon-lingkup-awal-dalam-bisnes.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...