Saturday, June 18, 2011

Jutawan Ekstrem - Azizi Ali

Jutawan Ekstrem
Tajuk: Jutawan Ekstrem
Penulis: Azizi Ali
Harga: RM39.90


Jutawan Ekstrem oleh Azizi Ali ini saya ambil masa 2 minggu untuk habiskan bacaan. Setelah sekian lama tidak membaca buku, baru kini minat untuk membaca timbul kembali setelah saya menghadiri satu seminar yang mengemukakan Irfan Khairi sebagai penceramahnya.

Ok, di dalam buku ini penulisnya, Azizi Ali, mengemukakan 5 kunci utama untuk menjadi jutawan ekstrem. 5 kunci tersebut ialah:

  1. Bebaskan pemikiran anda.
  2. Jadi seorang ekstremis.
  3. Ikut impian anda.
  4. Libatkan diri dalam bidang jualan.
  5. Nikmati kehidupan sepuas-puasnya.
Ulasan saya:

Bebaskan pemikiran anda.
Pertama sekali, Azizi Ali menyarankan kita supaya bebaskan pemikiran kita yang selalu berfikir untuk menjadi seorang yang kaya amatlah susah. Kita selalu menganggap bahawa orang yang kaya itu selalunya mewarisi kekayaan daripada pewaris mereka, bernasib baik dalam perniagaan dan sebagainya.

Kita mesti mengubah cara kita berfikir, kekayaan itu terdapat di mana-mana di atas dunia ini. Kita hanya perlu mencarinya dan kekayaan itu cukup mudah untuk digapai sekiranya kita tahu caranya.

Jadi seorang ekstremis.
Di dalam bab ini, Azizi Ali memberikan beberapa contoh kejayaan orang-orang ternama dunia. Rumusannya, kesemua mereka melakukan perkara yang orang lain tak sanggup lakukan untuk membolehkan mereka berjaya.

Mereka menjadi ekstrem dalam apa jua yang mereka lakukan, contohnya Jahangir Khan, juara dunia squash. Beliau tidak pernah kalah walau satupun perlawanan dalam tempoh 5 tahun berturut-turut. Rahsia beliau ialah beliau meletihkan lawan sehingga lawan membuat kesilapan dan akhirnya memberi kemenangan kepada beliau. 

Beliau menjadi seorang yang paling berstamina di dalam gelanggang. Setelah ditanya apa yang beliau lakukan untuk memperolehi stamina sedemikian, beliau menjawab, "Tiap-tiap pagi saya akan bangun pada pukul 5, berlari sejauh 7 batu, melatih pergelangan tangan dan berlatih permainan di gelanggang. Saya lakukan ini tiap-tiap hari tanpa tertinggal satu hari pun, walaupun ada hari-hari yang saya rasa tak sanggup lakukannya lagi, tapi saya teruskan juga."

Jadi, untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi, kita mestilah ekstrem, lakukannya dengan bersungguh-sungguh, tanpa jemu dan putus asa. Kita mesti berjaya akhirnya.

Ikut impian anda.
Penulis mengatakan bahawa untuk berjaya dengan mudah kita mestilah menceburi bidang yang kita minat. Minat akan membakar semangat kita, minat akan mendorong kita bila kita kelesuan, minat juga tidak akan membuat kita jemu.

Jadi, ikut impian kita. Buat apa yang kita cita-citakan, buat apa yang kita impi-impikan selama ini.

Libatkan diri dalam bidang jualan.
Kita boleh berjaya dan menjadi jutawan hanya dengan menyimpan dan melabur. Tetapi Azizi Ali mengatakan bahawa untuk menambah kekayaan kita hendaklah melibatkan diri dalam bidang jualan. Jualan akan menggandakan kekayaan dan mempercepatkan kejayaan.

Nikmati kehidupan sepuas-puasnya.
Kita hidup hanya sekali di dunia ini. Jadi nikmatilah sepuas-puasnya kehidupan ini. Buatlah apa yang anda ingin lakukan, pergi ke mana saja yang anda inginkan. Ya, semua itu memerlukan wang. Jangan bimbang, anda hanya perlu berhajat dan wang akan tersedia untuk itu.

Azizi Ali sungguh teliti dalam mengutarakan hujah-hujahnya di dalam buku ini. Banyak contoh dikemukakan untuk membolehkan pembaca lebih memahami apa yang beliau ingin sampaikan.

Buku ini akan mengubah cara kita berfikir. Buku ini akan mencorakkan kembali kehidupan kita yang terumbang-ambing tanpa tujuan sebelum ini. Buku ini juga akan membawa kita ke puncak kejayaan seterusnya menyertai kelab jutawan.

Kesimpulannya, kita mestilah menjadi yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi. Terbaik di sini maksudnya, kita tahu semuanya tentang bidang yang kita ceburi. Sehinggakan kita boleh bercakap mengenainya daripada lembu keluar kandangm, sampai lembu masuk kandang sehinggalah lembu keluar kandang semula keesokkan harinya, kita masih lagi boleh bercakap tentang topik itu tanpa henti.

Pada tahap itu, kita sudahpun menjadi pakar di dalam bidang tersebut dan kita tidak perlu lagi risau mengenai wang kerana wang akan datang mencari kita walaupun kita tidak mahu. Orang sanggup membayar berapa sahaja untuk mendapatkan nasihat daripada seorang pakar, betulkan? Oleh itu, tanamkan azam untuk menjadi yang terbaik, untuk menjadi pakar dalam bidang yang kita ceburi.

Azizi Ali

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...